Thursday, September 17, 2020

BUAT DUIT DENGAN RUMAH SEWA

 

Saya dan suami dibesarkan dalam keluarga miskin. Hidup hanya kais pagi makan pagi, jadi jauh sekali nak sembang tentang belajarkan anak tinggi-tinggi. Ayah berulang kali mengingatkan; kalau bercita-cita besar, wajiblah belajar pandai untuk dapat biasiswa. Jika tidak, duduklah di kampung buat kerja kampung. Ayah tidak mampu untuk bayarkan ke Menara gading. Alhamdulillah, ketika itu kerajaan sememangnya meletakkan pendidikan Bumiputera sebagai salah satu agenda utama. Kami mendapat bantuan dan biasiswa dari pelbagai agensi kerajaan untuk terus maju dalam kehidupan.

 

Namun di zaman ekonomi serba mencabar ini, kita tidak boleh lagi meletakkan harapan kepada pihak lain untuk melansungkan kehidupan. Zaman di mana kerajaan akan memberi bantuan jika kita ketinggalan dari segi ekonomi sudah berlalu. Sekarang, apabila kita mahukan sesuatu kita mestilah berusaha untuk mendapatkannya. Warga Malaysia lain sudah memperjuangkan kesamarataan. Taraf Bumiputera kita bukan lagi tiket untuk diberi bantuan selamanya.

 

Atas kesedaran inilah, saya dan suami tekad untuk mencari duit lebih sebagai persediaan pendidikan anak-anak. Selain mempunyai kerjaya tetap, kami juga mencuba pelbagai cara lain. Bisnes dropship, sudah. Keluarkan produk sendiri, sudah. Jual kosmetik, sudah. Main sahampun, sudah. Namun, pendapatan tambahan yang kami dapat tidaklah seberapa selain daripada ianya menuntut banyak masa kami dihabiskan ke arah itu.

 

Pada tahun 2012, saya berkenalan dengan seorang kakak sepejabat yang hidupnya tampak sederhana walaupun sudah berpangkat pengurus. Saya gelarnya Kak Zai. Dialah yang memperkenalkan konsep satu rumah bagi setiap seorang anak. Katanya, dengan cara ini dia tidak perlu lagi risau tentang masa depan pendidikan anak-anaknya. Mereka hanya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk melayakkan diri ke pusat pendidikan pilihan hati, selebihnya mama dan papa akan uruskan dengan adanya rumah itu.

 

Kak Zai menjelaskan, rumah tambahan yang kita beli untuk anak-anak bertujuan sebagai pelaburan jangka panjang. Kita beli semasa anak masih kecil, dan kita jual apabila mereka sudah hampir sedia ke menara gading. Sementara nak tunggu anak-anak membesar, dapatkanlah pendapatan tambahan dari rumah-rumah tersebut.

 

Banyak pilihan yang ada berkaitan dengan bisnes rumah. Antara yang menjadi pilihan ramai ialah rumah sewa jangka panjang dan homestay. Saya memilih rumah sewa kerana saya dan suami masih bekerja tetap. Rumah sewa tidak memperlukan perhatian penuh berbanding homestay.

 

Berbaloikah pendapatan dari rumah sewa? Saya serahkan kepada tuan-puan yang membaca e-book ini untuk memberi penilaian. Saya akan perincikan pengalaman saya di sini agar menjadi pedoman anda yang mahu memilih jalan yang sama untuk pendidikan anak-anak di masa depan.

No comments:

Post a Comment

Hutang Baik dan Hutang Tidak Baik

Sebelum saya ulas tentang penyatuan hutang, saya mahu anda faham tentang jenis-jenis hutang dahulu. Ini kerana, pada asasnya berhutang adala...